15/12/2009

Dua perseorangan kita tersungkur

Dua perseorangan kita tersungkur

VIENTIANE - Tanpa kehadiran pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, Malaysia terus kempunan untuk membawa pulang kejuaraan badminton perseorangan lelaki selepas dua wakilnya, Muhammad Hafiz Hashim dan Daren Liew tersingkir di pusingan pertama, semalam.

Bagaimanapun, harapan Malaysia untuk memburu sekurang-kurangnya tiga pingat emas dalam acara individu masih cerah selepas wakilnya yang lain meneruskan cabaran ke suku akhir hari ini.

Hafiz kecundang di tangan Sony Dwi Kuncoro buat hari kedua berturut-turut, sekali lagi menerusi keputusan tiga set 12-21, 21-19, 14-21. Kekalahan itu menyusul hanya sehari selepas dia tumpas kepada Sony dalam saingan berpasukan kelmarin.

Peluang yang diberikan kepada Liew Daren untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei gagal dimanfaatkan oleh pemain muda negara itu apabila tumpas mudah kepada pemain tidak ternama Vietnam, Nguyen Hoang Hai 9-21, 15-21.

Begitupun cabaran Malaysia masih diteruskan dua beregu lelakinya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari Mohd. Zakry Latif, dua perseorangan wanita, Wong Mew Choo dan Lydia Cheah, dua beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Woon Khe Wei-Chong Sook Chin dan dua beregu campura, Koo Kien Keat-Wong Pei TTy serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kien Keat-Boon Heong bagaimanapun dipaksa mengharungi aksi mencemaskan sebelum menundukkan pasangan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit 14-21, 21-12, 23-21 untuk menempah pertemuan dengan pasangan Singapura, Hendra Wijaya-Jeffrey Wong.

Malah, beregu kedua negara, Fairuzizuan-Zakry juga dikerah bekerja keras ketika mengalahkan pasangan Vietnam Bui Bang Duc-Dao Manh Thang 21-15, 18-21, 21-10, dan akan bertemu Jonathan Tang-Terry Yeo dari Singapura.

Selepas menghadiahkan mata kemenangan Malaysia bersama Ng Hui Lin dalam saingan berpasukan wanita kelmarin, Khe Wei kembali ke pangkuan pasangan asalnya, Chong Sook Chin dan kedua-dua cemerlang membenam pasangan tuan rumah, Khonesanith Inthavanh-Manivone Meungchaleun 21-8, 21-11. Beregu muda negara itu bakal ditentang pasangan Singapura, Shinta Mulia-Yao Lei.

Pei Tty-Eei Hui, yang menerima bye di pusingan pertama pula akan memulakan cabaran dengan menentang Frances Liu-Vanesa Neo dari Singapura.

Dalam saingan perseorangan wanita, Mew Choo turut mendapat bye di pusingan pembukaan, namun bakal berdepan ujian terbesar di suku akhir hari ini apabila berdepan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Maria Kristin dari Indonesia.

Pemain remaja negara, Lydia pula dipaksa mengharungi aksi mendebarkan sebelum menyingkirkan Nhung Le Nguyen dari Vietnam 14-21, 21-12, 21-12 untuk bertemu ujian getir pilihan keempat, Zhang Beiwen dari Singapura.

Sementara itu, Malaysia turut meneruskan cabaran dalam beregu campuran selepas Kien Keat-Pei Tty menundukkan Jeffrey Wong-Fu Mingtian dari Singapura 21-17, 21-10, manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bt Duong Bao Duc-Thai Thi Hong (Vie)21-15, 21-11.. - Utusan