PIALA DUNIA JERMAN 2006
www.utusan.com.my
03/07/2006

England tidak salahkan Rooney

England tidak salahkan Rooney

BADEN-BADEN - Pemain-pemain England yang meratapi kekalahan mereka pada suku akhir Piala Dunia enggan menyalahkan penyerang muda, Wayne Rooney kerana dilayangkan kad merah dan menyebabkan pasukan itu tewas menerusi sepakan penalti kepada Portugal.

Penyerang Manchester United itu diberi amaran selepas memijak pemain Portugal, Ricardo Carvalho pada minit ke-62 ketika kedudukan masih terikat 0-0.

Bagaimanapun keadaan tambah buruk dan Rooney diarah keluar padang apabila dia menolak rakan sekelabnya, Cristiano Ronaldo selepas pemain sayap Portugal itu mengemukakan bantahan kepada pengadil.

Ramai peminat menyalahkan Ronaldo kerana sengaja memanaskan lagi keadaan sedangkan dia sedar mengenai sikap panas baran rakan sekelabnya itu, namun begitu Ronaldo menafikan tuduhan tersebut.

“Orang akan berkata bahawa pengadil melayangkan kad merah kerana saya telah bercakap kepadanya.

“Ini tidak benar. Saya cuma memberitahunya bahawa dia (Rooney) telah melakukan kesalahan, saya tidak minta agar dia dilayangkan kad merah,” kata Ronaldo.

Siaran televisyen bagaimanapun menunjukkan bagaimana Ronaldo kemudian berjalan ke arah rakan-rakan sepasukannya dan mengenyitkan mata, sejurus Rooney diarah keluar padang.

David Beckham, salah seorang daripada tiga pemain England yang pernah dibuang padang dalam sejarah Piala Dunia selain Rooney dan Ray Wilkins berkata, Rooney tidak harus dipersalahkan.

“Saya belum menonton insiden itu di televisyen. Bagaimanapun saya tahu, 10 saat sebelum pengadil mengarahkan Rooney keluar padang, ada dua pemain lawan di belakangnya.

“Kalau pengadil nampak apa yang sebenarnya berlaku, saya tidak fikir dia akan melayangkan kad merah,” kata Beckham.

Beckham dibuang padang ketika England menentang Argentina pada pusingan kedua Piala Dunia 1998 oleh pengadil Denmark, Kim Milton Neilsen. Insiden itu menyebabkan dia menjadi mangsa kritikan hebat dari media England.

Bagaimanapun bintang tengah Real Madrid itu berharap, Rooney tidak akan menerima nasib yang sama dengannya kerana menganggap penyerang muda itu sebagai pemain berbakat besar, dan apa yang berlaku semalam adalah antara pengalaman hitam dalam karier bola sepaknya.

“Apakah dia (Rooney) juga akan dikutuk seperti saya? Kita tidak tahu. Bagaimanapun saya harap tidak. Rooney adalah masa depan pasukan England, dia sendiri yang memilih dirinya,” kata Beckham.

Bagi tonggak pertahanan England, Gary Neville, yang merupakan ketua pasukan Rooney di Manchester United, penyerang muda itu amat terluka.

‘Dia adalah rakan sekelab dan sepasukan saya di peringkat antarabangsa. Saya harap kad merah yang diterimanya tidaklah seteruk yang kita lihat.

“Saya tahu Wayne mempunyai sikap yang keras. Hatinya pasti terluka dan kecewa, begitupun saya harap dia tahu ada orang lain di sekelilingnya yang pernah mengalami keadaan lebih teruk daripada itu,” kata Neville.

Pada ketika sikap panas baran penyerang berusia 20 tahun itu sekali lagi dipersoalkan selepas dia menolak Ronaldo ketika insiden kad merah berlaku, namun pemain tengah England, Steven Gerrard menegaskan, Rooney tidak harus menjadi mangsa untuk dipersalahkan.

“Wayne mempamer permainan yang hebat dan telah banyak menyumbang kepada pasukan.

“Saya tidak nampak insiden tersebut tetapi saya memeluknya kerana saya sayangkan dia. Kami tidak akan menyalahkannya. Saya nampak ada tiga pemain lawan di sekeliling Rooney sebelum dia dibuang padang,” kata Gerrard.

Sebelum Rooney disingkirkan, England menguasai sebahagian besar perlawanan, dan kelihatan mampu meraih tiket separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990.

Malah, insiden kad merah Rooney itu hanya berlaku 10 minit selepas Beckham kelihatan menangis di tepi padang selepas dibawa keluar kerana kecederaan.

Beraksi dengan 10 pemain, England masih berjaya mempamer semangat juang tinggi dan mengheret permainan ke masa tambahan, namun amat malang mereka tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti yang lebih dianggap ‘nasib’.

– AFP

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.