PIALA DUNIA JERMAN 2006
www.utusan.com.my
10/07/2006

Ronaldo mahu tinggalkan England

Ronaldo mahu tinggalkan England

LISBON - Pemain sayap Manchester United, Cristiano Ronaldo yang menjadi bahan cemuhan di England kerana dianggap punca Wayne Rooney dibuang padang pada Piala Dunia dikatakan mahu meninggalkan negara itu.

‘‘Secara jujur, sukar untuk saya terus tinggal di England selepas melihat cara mereka melayan saya kerana saya tidak mencederakan sesiapa.

‘‘Mereka memperbesarkan perkara ini dan saya tidak tahu mengapa. Sukar untuk terus menetap di negara di mana secara praktikalnya mereka tidak mahukan saya.

‘‘Dalam tempoh dua atau tiga hari lagi saya akan membuat keputusan,” kata Ronaldo kepada stesen televisyen Portugal, SIC ketika ditanya adakah dia akan menyertai gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid pada musim depan.

Ronaldo memberitahu stesen berkenaan sejurus selepas pasukannya tumpas 3-1 kepada Jerman dalam perlawanan playoff tempat ketiga semalam.

Pemain sayap Portugal itu juga berkata, dia amat kecewa dengan tindakan pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson dan pegawai kelab yang lain kerana tidak mempertahankannya beberapa hari ini.

‘‘Mereka sepatutnya mempertahankan saya tetapi tiada siapa yang mempertahankan saya. Saya tidak mahu berada di dalam keadaan ini. Saya tidak mahu lagi berada di kelab tersebut,” lapor agensi berita Portugal, Lusa, memetik kenyataan pemain itu.

Media England memanaskan lagi keadaan dengan memainkan laporan berbentuk anti-Ronaldo selepas beberapa pemain mereka menyalahkannya kerana mendorong pengadil melayangkan kad merah kepada rakan sekelabnya, Rooney pada suku akhir Piala Dunia.

Dalam insiden tersebut, Rooney menafikan sengaja memijak pangkal paha tonggak pertahanan Portugal, Ricardo Carvalho tetapi Ronaldo tiba-tiba menerpa ke arah pengadil dari Argentina, Horacio Elizondo, dan sejurus selepas itu, Rooney dilayangkan kad merah.

Tambah menaikkan lagi kemarahan pemain dan penyokong England ialah melihat Ronaldo kemudian mengenyitkan mata kepada rakan-rakan sepasukannya di bangku simpanan sejurus Rooney dibuang padang.

Dengan ketiadaan Rooney, England terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan akhirnya kalah menerusi penentuan sepakan penalti, di mana Ronaldo mengambil sepakan kemenangan pasukannya.

Rooney digantung dalam dua perlawanan antarabangsa akibat kad merah tersebut.

Ronaldo, 21, menegaskan bahawa dia tidak bersalah dan sehari selepas tamat perlawanan dengan England, dia mendakwa hubungannya dan Rooney masih baik, malah kedua-dua mereka saling bertukar mesej di telefon bimbit.

Pemain muda Portugal itu kemudian diejek segelintir penyokong dalam dua perlawanan terakhir melibatkan pasukannya, iaitu bertemu Perancis di separuh akhir dan menentang Jerman pada play-off tempat ketiga.

Pada November lalu, Ronaldo menyambung kontrak dengan Manchester United sehingga 2010 selepas menyertai gergasi Liga Perdana England itu dari kelab Portugal, Sporting Lisbon dengan bayaran perpindahan AS$17.3 juta pada 2003.

– AFP

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.