TMS 2000

headpage_s.jpg (9466 bytes)

TMS 2000
...langkah meletakkan Selangor di peta dunia

Oleh: KAMARUZAMAN MOHAMAD

c.jpg (27995 bytes)

Abu Hassan Omar meminati perlumbaan go-kart.

INDUSTRI pelancongan kini merupakan salah satu industri terpenting bagi Selangor. Pelancongan bukan sahaja dapat menjana ekonomi negeri malah ia membuka banyak peluang perniagaan kepada rakyat.

Selangor juga kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati seperti Bukit Melawati di Kuala Selangor yang penuh dengan kesan-kesan sejarah, kelip-kelip di Bukit Belimbing dan Kampung Kuantan juga di Kuala Selangor, Batu Caves di Gombak dan air terjun di Sungai Tekali, Hulu Langat.

Lantaran itu, kempen 'Malaysia Ku Destinasi Ku' yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 11 September lalu amat sesuai dengan hasrat kerajaan negeri membangunkan industri pelancongan itu.

Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Abu Hassan Omar amat mengalu-alukan kempen tersebut yang sudah pasti akan membantu Selangor dalam menjayakan Tahun Melawat Selangor 2000 (TMS 2000) itu sendiri.

Bagi melicinkan sambutan itu, kerajaan negeri menubuhkan sebuah syarikat, TMS 2000 Sdn. Bhd yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Renggam, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed selaku pengerusi eksekutifnya.

Keseriusan Menteri Besar memajukan industri pelancongan itu juga dapat dilihat melalui petikan kata-katanya pada kalendar pelancongan TMS 2000: Industri pelancongan mampu meningkatkan pulangan ekonomi kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor. Kemampuan ini berdasarkan fakta Selangor mempunyai prasarana yang terbaik di Malaysia.

Dengan itu, pelancaran TMS 2000 di Dataran Shah Alam baru-baru ini banyak membawa pengertian kepada negeri ini khususnya langkah meletakkan Selangor di peta dunia sebagai salah satu pusat pelancong yang menarik di negara ini.

Bagi mempromosikan Selangor dan juga TMS 2000, Abu Hassan sendiri mengetuai satu misi ke United Kingdom (UK), Ireland dan Jerman baru-baru ini dan beliau juga akan mengetuai satu lagi misi pelancongan ke China dan Jepun tidak lama lagi.

Selain kedua-dua negara itu, misi-misi pelancongan juga akan dihantar ke Timur Tengah, New Zealand dan Australia.

Mengikut unjuran kerajaan negeri, TMS 2000 mampu membawa masuk lima juta pelancong ke Selangor iaitu tiga juta pelancong dalam negeri dan dua juta pelancong luar negara.

Dengan kemasukan para pelancong itu lebih RM1 bilion dijangka dibawa masuk ke negeri ini sepanjang tempoh sambutan tersebut. Bagaimanapun Abu Hassan tetap mengutamakan pelancongan tempatan atau dalam negeri untuk datang ke Selangor begitu juga dengan pelancong dari negeri ini pula berkunjung ke negeri-negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sesuai dengan falsafahnya melancong di negara sendiri, Abu Hassan berkata negeri Selangor kini terbuka kepada semua rakyat negara ini untuk dilawati dan menikmati keindahan alamnya.

d.jpg (34623 bytes)

PELUANG bermain air di tempat selesa dan selamat.

Bagi memudahkan para pengunjung mendapat maklumat mengenai tempat-tempat menarik, satu pusat maklumat pelancong, Darul Ehsan Tourism Centre (DETC) diwujudkan berhampiran Bangunan Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA).

Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah berkenan merasmikan pusat tersebut baru-baru ini.

DETC juga menjual cenderahati untuk dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan TMS 2000, semua sembilan daerah di Selangor akan mengadakan sambutan masing-masing dan yang terbaru ialah Klang di mana sambutan itu sungguh meriah dan berjaya menarik perhatian lebih 200,000 penduduk.

Pada sambutan malam minggu 4 September lalu, berbagai pertunjukan dan persembahan diadakan seperti perarakan kereta dan beca berhias, pertunjukan bunga api dan persembahan pancaragam oleh pelajar-pelajar.

Selain mempromosikan keindahan semula jadi, Selangor juga mempromosikan pusat-pusat beli-belah di negeri ini termasuk Sunway Piramid yang mempunyai reka bentuk unik seperti struktur piramid yang terkenal di Mesir di samping taman-taman air bertemanya yang menarik.

Tidak lupa juga golf, kini merupakan salah satu tarikan pelancong ke negeri ini dan sempena TMS 2000 satu pertandingan golf peringkat antarabangsa akan diadakan.

Di samping itu pihak penganjur TMS 2000 akan mengadakan perlumbaan kereta Formula 1 (F1) dijangka pada bulan Februari 2000. Lain-lain acara menarik ialah karnival sukan air, ekspo perabot, pesta makanan, pertandingan dan pertunjukan bot serta konsert kebudayaan Islam.

Dengan segala perancangan yang rapi, sudah pasti TMS 2000 akan mencapai matlamatnya iaitu menarik sebanyak pelancong berkunjung ke Selangor di samping menikmati keindahan alam semulanya.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]