Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO 2000 (10 Mei)
Perhimpunan Agung UMNO 2000 (11-13 Mei)


 
 
 

 


Kejutan Dalam Pemilihan Naib Presiden UMNO

Kejutan Dalam Pemilihan Naib Presiden UMNO

Oleh BAHAROM MAHUSIN
KUALA LUMPUR 11 Mei - UMNO hari ini dikejutkan dengan kemenangan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Naib Presiden UMNO iaitu gandingan sama yang memenangi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu pada tahun 1993.

Ketiga-tiga mereka yang mendapat pencalonan daripada UMNO Bahagian Kubang Pasu - bahagian yang diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad - menang selesa, dengan Najib meninggalkan jauh pemenang kedua dan ketiga.

Najib, 47, yang merupakan Menteri Pertahanan dan Naib Presiden sejak tahun 1993 memperoleh 1,289 undi.

Muhammad, juga Naib Presiden sejak tujuh tahun lalu, mendapat 853 undi dan Muhyiddin di tempat ketiga dengan 813 undi.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah mengumumkan keputusan pemilihan tersebut di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 9.12 malam ini, kira-kira lima jam selepas 2,018 perwakilan selesai mengundi pada pukul empat petang.

Najib ketika mengulas kemenangannya menyatakan rasa terharu di atas sokongan mantap para perwakilan terhadap beliau.

``Insya-Allah saya akan gunakan sokongan ini untuk bekerja sekuat mungkin bagi memenuhi segala tuntutan dan kehendak kita bersama iaitu ingin terus melihat parti kita kuat dan utuh,'' katanya.

Ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan pemilihan peringkat Naib Presiden dan komposisi Majlis Tertinggi (MT), beliau menyifatkannya sebagai ``menggambarkan hasrat perwakilan supaya UMNO diwakili oleh semua golongan, baik mereka yang dalam kerajaan mahupun bukan.''

Sembilan calon bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO ke-54.

Selain tiga pemimpin yang menang, pertandingan tersebut turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Ketua Menteri Sabah, Datuk Panglima Osu Sukam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar.

Osu memperoleh 629, Abu Hassan (616), Syed Hamid (524), Ghani (469), Isa (421) dan Rais (371).

Muhammad pula percaya beliau menang dalam pemilihan tersebut kerana bekerja kuat untuk parti.

``Walaupun tidak mempunyai jawatan,'' katanya, ``saya terus bekerja dan menunjukkan taat setia bukan kepada individu tetapi parti.''

Muhammad menambah, beliau akan membantu Dr. Mahathir dan Abdullah meneruskan cita-cita parti untuk mewujudkan ``sebuah bangsa Melayu yang maju, berkualiti, jati diri, dan berkemampuan supaya setanding dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia.''

Muhyiddin pula menganggap kejayaannya bukan kemenangan peribadi.

``Kemenangan ini ialah kemenangan UMNO. Ini satu amanat dan satu tanggungjawab yang tidak seharusnya membuat kita sombong,'' katanya kepada pemberita di PWTC sejurus selepas keputusan diumumkan.

Dalam pencalonan menjelang pemilihan yang berlangsung hari ini, Najib mendapat 151 pencalonan, Muhammad (32) dan Muhyiddin (30).

Calon-calon lain seperti Abdul Ghani dan Abu Hassan yang masing-masing memperoleh pencalonan besar 80 dan 58 bahagian gagal mendapat kepercayaan majoriti 2,018 perwakilan UMNO.

Kemenangan Najib memang sudah dijangka berdasarkan popularitinya, manakala Muhyiddin, 53, dengan jawatannya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai kelebihan dari segi politik.

Muhammad, 55, pula merupakan bekas Menteri Besar Selangor yang meletakkan jawatan pada tahun 1997 kerana menghadapi kes-kes mahkamah di Australia dan Malaysia, yang kini telahpun selesai.

Beliau bukan seorang wakil rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, dan berdasarkan kedudukan itu kemenangannya agak unik lebih-lebih lagi kerana beliau berupaya mempertahan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya sejak tahun 1993.

Pada masa lepas, ada pemimpin di luar kerajaan turut memenangi jawatan Naib Presiden UMNO misalnya kejayaan Datuk Harun Idris yang kontroversi pada pemilihan tahun 1981.

Para pemerhati di Perhimpunan Agung UMNO percaya ahli-ahli UMNO akan tertunggu-tunggu apakah isyarat yang cuba disampaikan oleh para perwakilan dan bentuk peranan yang akan dimainkan oleh Muhammad dalam parti.

Pada pemilihan tahun 1993, Muhyiddin merupakan penerima undi terbanyak (1,413) diikuti oleh Najib (1,202) dan yang terakhir Muhammad (1,189).




© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]