Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO 2000 (10 Mei)
Perhimpunan Agung UMNO 2000 (11-13 Mei)


 
 
 

 


UMNO Diseru Tubuh Dana Seperti Projek Langkawi

UMNO Diseru Tubuh Dana Seperti Projek Langkawi

KUALA LUMPUR 12 Mei - UMNO Negeri Sembilan mencadangkan supaya UMNO menubuhkan satu dana pendidikan dan kebajikan khas menyerupai Projek Langkawi yang dikendalikan oleh parti MCA.

Perwakilannya, Datuk Lilah Yassin berkata, langkah tersebut penting bagi menarik lebih ramai orang Melayu menyokong UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, menurutnya, Projek Langkawi yang dilaksanakan oleh MCA telah terbukti memberikan kejayaan kepada parti itu pada pilihan raya umum tahun lalu apabila masyarakat Cina memberikan sokongan padu kepada MCA.

Beliau berkata, Projek Langkawi telah memberikan imej baik bagi MCA apabila masyarakat Cina begitu yakin dengan parti itu dan menterjemahkan sokongan mereka dalam bentuk undi kepada MCA pada pilihan raya umum pada November lalu.

Katanya, calon-calon MCA telah berjaya menewaskan calon parti pembangkang khususnya parti DAP pada pilihan raya umum lalu apabila Chen Man Hin, Karpal Singh dan Lim Kit Siang tewas di kawasan yang ditandingi mereka.

``UMNO tidak ada Projek Langkawi, kita hanya menumpang kasih kepada jabatan kerajaan, malangnya jabatan kerajaan tidak pula dikuasai oleh parti.

``UMNO tidak mendapat simpati daripada kakitangan agensi kerajaan apabila ada daripada kalangan mereka yang tidak menyokong UMNO,''katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Projek Langkawi adalah projek melibatkan program kebajikan yang dilaksanakan oleh MCA untuk membantu pelajar serta orang miskin yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, ahli-ahli korporat yang telah banyak dibantu oleh UMNO boleh memainkan peranan untuk merealisasikan dana tersebut.

``Panggil semua usahawan yang telah dibantu, bank yang ditolong, ahli korporat yang diselamatkan dan minta mereka membantu mengisi dana tabung tersebut,'' katanya lagi.

Selain itu, kata Lilah, UMNO Negeri Sembilan juga menyokong supaya pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi diadakan pada tahun yang sama.

Langkah tersebut, jelas beliau, dapat mengurangkan terlalu banyak `politiking' di kalangan ahli UMNO serta menjimatkan masa, selain membolehkan ahli parti menumpukan perhatian terhadap usaha memperkukuhkan parti.

Dalam pada itu, perwakilan Selangor, Noh Omar mengingatkan perwakilan mengenai bahaya yang akan dihadapi orang Melayu jika UMNO tewas kepada parti pembangkang.

``Apa guna orang Melayu menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar jika UMNO yang menjadi tunjang Melayu runtuh.

``Ranapnya UMNO akan menghancurkan Melayu di negara ini. Oleh itu, mari kita tentang habis-habisan slogan UMNO tidak lagi relevan,'' katanya.




© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]