Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO 2000 (10 Mei)
Perhimpunan Agung UMNO 2000 (11-13 Mei)


 
 
 

 


Rafidah hadapi cabaran satukan semula Wanita

Rafidah hadapi cabaran satukan semula Wanita

Oleh BAHAROM MAHUSIN
DATUK Seri Rafidah Aziz menunggu 3 tahun 7 bulan untuk merampas semula jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang jatuh ke tangan Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada bulan Oktober 1996.

Ketika Rafidah kalah, Dr. Siti Zaharah tahu Rafidah dan para penyokongnya tidak akan berdiam diri.

Sejak hari pertama dia menjadi Ketua Pergerakan Wanita, Siti Zaharah, 51, sedar bahawa bayang-bayang Rafidah akan sentiasa menghantuinya.

Pada pukul 8.48 malam ini, bayang-bayang tersebut meragut masa depan politiknya.

Rafidah, 57, diumumkan sebagai pemenang pemilihan kali ini yang begitu sengit, yang kempen-kempennya sebenarnya telah bermula pada bulan Oktober 1996.

Para perwakilan wanita UMNO seramai 671 orang telah membuat keputusan muktamad untuk mengembalikan Rafidah _ yang mempunyai ramai penyokong setia _ ke jawatan politik yang dipegangnya selama 12 tahun dari 1984-1996.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu memenangi semula jawatan itu dengan mendapat 341 undi manakala Siti Zaharah memperoleh 329. Rafidah menang dengan majoriti 12 undi tidak termasuk satu undi rosak.

Pada tahun 1996, Siti Zaharah yang ketika itu merupakan Exco Wanita menentang Rafidah dengan kempen bertemakan perubahan. Pertandingan tersebut begitu hebat kerana Siti Zaharah cuma menang dengan majoriti 27 undi.

Isu utama yang perlu ditanya ialah mengapa Rafidah menang?

Menurut para perwakilan Wanita, kekurangan Rafidah ialah dia tidak mempunyai personal touch tetapi dia dikurniai keberanian, keupayaan dan kredibiliti memimpin yang jauh lebih tinggi daripada Siti Zaharah.

Semalam semasa Majlis Taklimat Presiden, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyebut nama Rafidah dalam ucapannya, dan banyak perwakilan melihat ia sebagai satu pengiktirafan kepada hubungan peribadi yang begitu lama dipupuk antara mereka.

Siti Zaharah memang wajar bersedih dengan kekalahan ini tetapi dia harus berfikir sebaliknya: Dia kalah kepada seorang tokoh yang lebih efisien, lebih berkaliber, sekurang-kurangnya pada mata sebahagian besar perwakilan Wanita.

Ucapan Wakil Majlis Tertinggi UMNO ke Perhimpunan Wanita, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad petang ini wajar diberi perhatian.

Wan Mokhtar yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kalah di Terengganu tahu apa erti kekalahan. Katanya: ``Kekalahan yang kita terima kadang-kadang adalah satu kebaikan.''

Kemenangan Rafidah dalam pemilihan ini memperlihatkan bahawa isu-isu remeh seperti pemakaian tudung kepala dan siapa lebih alim tidak berkesan dalam pemilihan Wanita kali ini.

Bagaimanapun, Rafidah berhadapan dengan cabaran yang rumit untuk menyatukan pergerakan Wanita yang telah berpecah belah sejak tahun 1996.

Dalam kempen-kempennya, Rafidah berkata, dia ingin mengukuhkan semula Wanita UMNO yang didakwanya berpecah dan tidak mempunyai arah tujuan di bawah kepimpinan Siti Zaharah.

Memandangkan dia kini hanya memenangi pemilihan Wanita dengan majoriti 12 undi, tugas tersebut akan lebih sukar lagi.

Rafidah percaya kekuatan dan program-program Wanita UMNO akan menentukan pengaruh UMNO di kalangan rakyat dan akan mempengaruhi keputusan mana-mana pilihan raya umum.

Pada pandangannya, salah satu faktor mengapa sokongan terhadap UMNO merosot dalam pilihan raya umum 1999 ialah kerana Wanita UMNO tidak memainkan peranan yang berkesan.

Dalam usianya yang akan menjangkau enam dekad apabila pilihan raya umum akan datang diadakan pada tahun 2004, Rafidah tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaiki apa yang difikirkannya tidak betul semasa Wanita UMNO di bawah kepimpinan Siti Zaharah.

Rafidah - dulu anak gadis, kemudian wanita bersemangat waja, bekas pensyarah dan tokoh pemimpin yang pernah memukau UMNO pada zaman mudanya - kini kembali menerajui Pergerakan Wanita UMNO.

Dia bukan seorang ahli politik yang hipokrit. Sungguhpun kemenangannya kali ini tipis, UMNO boleh menanam harapan besar kepada wanita ini.

Rafidah perlu mengubah orientasi Wanita UMN0, memberi perhatian kepada masalah ahli di peringkat akar umbidan menyediakan wanita Melayu dengan program era Teknologi Maklumat.

Bantulah dia mengubah Wanita UMNO. Bantulah Rafidah mengotakan janji-janjinya. Orang itu termasuklah Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.




© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]