Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO 2000 (10 Mei)
Perhimpunan Agung UMNO 2000 (11-13 Mei)


 
 
 

 


Perhimpunan Agung Bawa Gelombang Baru

Perhimpunan Agung Bawa Gelombang Baru

Oleh AZIZ ISHAK
PARA pemimpin, perwakilan dan pemerhati UMNO meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam (13 Mei) dengan membawa satu gelombang baru kesan daripada perhimpunan agung parti itu.

Segala-galanya berbaur daripada persoalan ucapan dasar Presiden, trend pemilihan, muhasabah yang dicernakan oleh para pembahas, mood perwakilan sehinggalah kepada jumlah pemerhati yang jauh lebih besar berbanding pemilihan lalu.

Para pemerhati percaya, kebanjiran ramai ahli UMNO dan orang Melayu memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada perhimpunan kali ini bukanlah kerana UMNO genap berusia 54 tahun pada 11 Mei lalu, lagipun tiada sebarang sambutan khas memperingatinya. Ia juga bukan disebabkan sangat oleh bahang pemilihan.

``UMNO sebenarnya semakin hari semakin membangkitkan tarikan sejak kejayaan pilihan raya kecil Sanggang ,'' kata seorang konsultan syarikat pelaburan Mohd. Salleh Johari, yang terpanggil mengikuti perjalanan perhimpunan itu menerusi televisyen litar tertutup di PWTC.

Mohd. Salleh dan ramai lagi pemerhati serta masyarakat Melayu tidak dapat lari memberikan perhatian kepada perhimpunan tersebut untuk melihat sejauh manakah sifat laku UMNO pada perhimpunan pertama alaf baru ini.

Apatah lagi masyarakat Melayu masih dibayangi oleh perpecahan kesan daripada pilihan raya umum lalu dan kegawatan politik 1987, menyebabkan ramai juga orang Melayu yang jauh hati dengan UMNO yang genap berusia 54 tahun pada 11 Mei lalu.

Sambil membawa lanskap politik itu, UMNO memulakan perhimpunan dengan ucapan Presidennya, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, yang seperti biasa mencorakkan suasana perbahasan.

Beliau membuka ruang untuk bermuhasabah apabila mengkritik tingkah laku sebahagian orang UMNO sehingga menyebabkan orang Melayu meluat terhadap parti.

Seperti biasa juga, Dr. Mahathir mengasak ahli-ahli UMNO supaya melakukan banyak pembetulan segera menerusi penerapan budaya Melayu baru dan memberi hala tuju dalam menjamin UMNO terus memimpin perjuangan agama, bangsa dan negara.

Dr. Mahathir menjadi lebih kuat setiap kali selepas menamatkan ucapannya. Begitu juga kali ini, ucapan perasmian Presiden parti itu yang disudahi dengan beliau sendiri memimpin bacaan doa, menyerlahkan ketulusannya untuk menjana kekuatan UMNO.

Semangat ketulusan itu turut terpancar di kalangan sebahagian besar wakil yang berucap terutama ketika membuat pelbagai teguran bukan sahaja terhadap UMNO keseluruhannya, bahkan secara khusus menujukannya kepada pucuk pimpinan dan barisan majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Maka terhamburlah apa yang tersembunyi dan memang mahu disembunyikan di hati selama ini atas alasan-alasan tertentu.

Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat post mortem terbaik dan dalam suasana terbaik. Kedua-dua pemimpin ini juga ditegur secara terbuka mahupun secara berkias.

Begitu juga dengan barisan MT yang dilihat kurang berkesan oleh beberapa pembahas kerana lebih banyak membelek fail dan mendengar taklimat. Barisan MT lama ini juga dikritik kerana tidak banyak membantu Dr. Mahathir dan Abdullah ketika UMNO dilanda badai politik sejak 1998 sehingga menjadikan UMNO begitu defensif.

Inilah perhimpunan yang paling besar signifikannya terutama keupayaan seluruh organisasi itu sama ada pemimpin mahupun perwakilan menyemarakkan muhasabah dengan mencari segala kelemahan UMNO.

Ternyata ia telah dihadapkan dalam satu perhimpunan paling telus bukan sahaja kepada pemerhati UMNO bahkan pemerhati luar serta organisasi media asing dan bukan Melayu, yang mengikuti perjalanan perhimpunan itu secara penuh.

Proses mencari kekuatan dengan menilai segala kelemahan dan kesilapan ini, dapat dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana UMNO di peringkat awal telah berjaya membendung perpecahan berpunca daripada pertandingan pucuk pimpinan.

``Ada hikmah besar dengan tiadanya pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden. Lihatlah hari ini, perhimpunan dan pemilihan berlangsung tanpa sedikitpun UMNO bergolak,'' kata Dr. Zambry Abdul Kadir, salah seorang exco baru Pergerakan Pemuda UMNO.

Biarpun tanpa pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden, pemilihan kali ini tetap menarik terutama kemunculan semula Naib Presiden gandingan 1993 iaitu Datuk Seri Najib, Tun Razak, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyaksikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi `tertepis ketika itu.

Kini senario berlainan kerana Abdullah selaku Timbalan Presiden sudah menjadi `manager' mereka.

Kejayaan ketiga-tiga tokoh itu mendapat penerimaan baik daripada Dr. Mahathir, Abdullah, ahli-ahli MT sehinggalah kepada perwakilan yang jelas terpancar menerusi reaksi sepanjang perhimpunan termasuk ketika mereka berucap pada majlis penggulungan petang semalam.

Bagi kalangan ramai pemerhati gandingan tersebut adalah yang terbaik untuk membantu pucuk pimpinan dan sebarang kemungkinan perubahan kepimpinan kemudian hari.

Najib telah mengesahkan lagi pendakian politiknya selepas ini setelah diberi kejutan awal dengan kemenangan tipis dalam pilihan raya umum lalu.

Kejayaan Muhammad mempertahan jawatan itu walaupun tanpa jawatan kerajaan dan penampilan semula Muhyiddin yang tidak mempunyai kedudukan dalam MT, sedikit sebanyak akan mewarnai arus politik tanah air. Kejayaan kedua-duanya bukan satu kejutan.

Muhyiddin misalnya mempunyai rekod politik yang lasak selain kecemerlangan dalam rekod kerjanya dari pembangunan Johor suatu ketika dulu sehinggalah kejayaan Sukan Komanwel.

Muhammad dan Muhyiddin mempunyai satu persamaan iaitu mereka kini melepasi beberapa ujian seperti kesetiaan sebelum melangkah bertanding termasuk apa yang dilihat sebagai asakan dan sekatan politik dalam konteks negeri.

Keputusan pemilihan Naib Presiden dibaca dengan pelbagai isyarat oleh pemerhati UMNO.

Ada yang melihat kejayaan ketiga-tiga tokoh itu dengan pencalonan Kubang Pasu yang diketuai oleh Dr. Mahathir, selain kebolehan calon-calon tersebut. Ada pula yang merasakan itulah gandingan terbaik untuk memperkuatkan parti dalam menarik keyakinan ahli UMNO dan masyarakat Melayu keseluruhannya.

Tidak kurang yang menjuruskan harapan supaya `NMM' atau Najib, Muhammad dan Muhyiddin meningkatkan peranan memeriksa kepimpinan UMNO secara konstruktif.

Seorang ahli MT pula mahu melihat kepentingan strategik Melayu di sebalik keputusan itu. Katanya: ``pucuk pimpinan tidak akan kecewa dengan mereka.''

Tetapi isyarat paling jelas ialah perwakilan menolak calon menteri besar dan ketua menteri, yang kesemuanya merupakan muka baru. Seorang pemerhati mempunyai komen ringkas terhadap keputusan itu.

Pemilihan terbaru ini memperlihat bahawa menteri besar dan ketua menteri semakin hilang cengkaman sebagai pilihan `wajib' perwakilan sekurang-kurangnya untuk satu kerusi Naib Presiden atas tiket kouta negeri.

Semua empat Menteri Besar yang bertanding bagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Abu Hassan Omar, Datuk Osu Sukam, Tan Sri Mohd. Isa Samad dan Datuk Abdul Ghani Osman tewas jawatan ketiga tertinggi parti itu.

Inilah prestasi terburuk calon Menteri Besar setelah sekian lama UMNO mempunyai satu naib Presiden daripada kalangan Menteri Besar dan kemuncaknya ialah dua Naib Presiden pada pada tahun 1993.

Pemilihan MT turut mengundang perhatian dengan penampilan ramai muka baru yang mencerminkan dimensi politik menyeluruh termasuk mengambil kira konteks integrasi nasional seperti tiga wakil Sabah dalam membuat dasar parti.

Kejayaan calon-calon luar kerajaan seperti Datuk Shahrir Samad dan Datuk Zahid Hamidi mencerminkan aspirasi perwakilan yang mahu barisan yang progresif menyuarakan aspirasi ahli.

Tetapi Shahrir harus membuktikan budaya kritikan berkualiti dan konstruktif dalam forum seperti MT.

Pemilihan Ketua Pergerakan Wanita juga terus diperkatakan. Kejayaan Datuk Seri Rafidah Aziz sudah diduga disebabkan oleh kegagalan Datuk Dr. Siti Zaharah memperkukuh pengaruh dan pencapaiannya sepanjang kepimpinan sejak menewaskan Rafidah pada 1996.

Namun Zaharah tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja lebih-lebih lagi dengan kekalahan tipisnya. Beliau mungkin sesuai dilantik sebagai ahli MT biarpun Rafidah turut mencadangkan Naib Ketuanya, Datuk Shahrizat Jalil.

Langkah ini boleh mendorong suasana penyatuan semula Wanita. Lagipun MT perlu calon-calon wanita yang berkaliber memandangkan kesemua calon wanita yang bertanding jawatan itu tewas - entah apa puncanya.

Berbanding dengan Pergerakan Wanita UMNO, tugas untuk merapatkan semua barisan dalam Pergerakan Pemuda rasanya tidak begitu sukar.

Ini kerana jawatan ketuanya telah dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein sementara Naib ketua yang baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menang besar.

Barisan exco baru Pemuda juga menampilkan gandingan meyakinkan dan diharap dapat membantu Hishammuddin supaya menjadikan pergerakan itu bebas daripada budaya lesu sebaliknya lebih berorientasikan rakyat terutama dalam menarik golongan muda kepada UMNO.

Kepada kepimpinan baru tidak kira jawatan Naib Presiden, Ketua Pergerakan Wanita mahupun ahli MT yang disifatkan barisan terbaik, mereka akan menjadi sandaran UMNO dalam menghadapi cabaran lebih besar.

Kepada yang kalah, ini bukanlah penghujung jalan politik mereka. Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Mereka tidak harus lemah semangat sebaliknya terus mencanai minda dan keringat membantu parti.

Abdullah, Muhyiddin, Rafidah dan Datuk Seri Syed Hamid Albar antara yang pernah tewas, tetapi mereka tetap bersemangat waja meneruskan kerja dan agenda parti.

Yang penting ialah pemilihan tersebut mesti disusuli dengan semangat merapatkan semula barisan kerana tugas yang menanti UMNO terlalu besar.

Seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mahathir perjuangan UMNO untuk bangsa masih belum selesai malah masa depan Melayu masih belum selamat dengan asakan yang semakin tidak menentu.

Cabaran utama selepas ini ialah dari dalam UMNO sendiri.

Realiti di luar Dewan Merdeka nanti adalah lebih menggusarkan. Kebanyakan bahagian UMNO menghadapi masalah pergelutan peringkat akar umbi.

Pergelutan untuk jawatan sudah membayangi UMNO bahagian. Pemilihan bahagian pasti memuncakkan sepak terajang politik di peringkat akar umbi sedangkan UMNO perlu dengan banyaknya mengurangkan politiking, sebaliknya banyak bekerja untuk parti dan bangsa.

Memetik kata Tun Daim Zainuddin dalam ucapannya penggulungannya : ``Kita semua ada banyak kerja bagi bangsa Melayu.''

Harapan untuk UMNO memenangi hati masyarakat Melayu cukup cerah dan terbuka luas. Perhimpunan UMNO semalam membawa harapan baru, cuma tinggal diterjemahkan sesungguh-sungguhnya.

Melihat, mendengar dan menilai muhasabah UMNO, orang Melayu tidak akan terus berjauhan hati.




© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]